Khamis, 3 Februari 2011

historical of UG

Universal Music To All!.Berjumpa lagi nampaknya kita dalam rancangan mengenali muzik bersama DJ TokeiLampin ceh..apa aku merepek ni so..taknak cite panjang mari aku mulakan mengenai sejarah muzik Underground Di Malaysia ni ek..saper tahu takyah baca tapi kalau nak dapatkan ilmu boleh la kot..

Sejarah underground di Malaysia ini sudah pun dimulakan oleh segelintir remaja pada lewat 70an dahulu. Mereka pada mulanya lebih terpengaruh kepada muzik Punk setelah banyak membaca majalah-majalah dari England dan juga daripada band The Sex Pistols yang begitu popular ketika itu. Mereka mula mengumpul berita, kaset dan majalah mengenai punk dan mula berhubung dengan scene punk di luar negara untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.
Joe Kidd telah menubuhkan scene punk yang pertama di Kuala Terengganu pada awal 80an, namun pada masa itu hampir tidak ada band yang ditubuhkan secara serius. Mereka hanya bermain gitar kapok sambil lepak di tepi pantai, tetapi pada tahun 1987 terdapat sebuah band di Terengganu yang memainkan irama punk dengan pengaruh thrash metal iaitu Mallaria dan mereka turut merakamkan demo yang tidak diketahui kesudahannya. Selain Joe Kidd dan rakan-rakan di Kuala Terengganu, terdapat juga geng-geng punk yang lain di Kuala Lumpur dan P. Pinang ( Abazz daripada band punk The Karatz ) tetapi semuanya dalam komuniti yang kecil dan tidak mempengaruhi budak-budak lain.

Ketika itu juga telah muncul segelintir pemuzik yang memainkan irama yang lebih keras iaitu thrash metal. Muzik ini dikesan pada sekitar awal tahun 1984 dan mula berkembang selepas lebih kurang dua tahun selepas itu. Antara band metal terawal di Malaysia ialah Punisher, Nemesis, Glottis, Picagari dan FTG. Mereka ini kebanyakannya mendapat pengaruh band-band luar negara seperti Sodom, Kreator, Black Sabbath, Venom, Slayer, Bathory dan King Diamond.

Pada peringkat awal ia tidak dilabel muzik underground kerana tidak wujud suasana bertukar-tukar demo tape, maklumat dan membuat fanzine sendiri. Material-material dari luar negara ( album, demo dan majalah ) masih lagi tidak dijual di sini. Kebanyakannya hanya dibawa oleh pelajar-pelajar di luar negara dan mana-mana mamat yang berminat cuma fotostat dan dubbing sahaja daripada mereka.Sampaikan di Kuala Terengganu popular untuk dubbing tape tak silap aku Rm10 satu siap boleh pilih lagu lagi tu.

Bermula pada tahun 1988, keadaan sudah menjadi semakin hangat apabila sudah ramai remaja yang berminat muzik sebegini. Muzik tersebut sudah mula diklasifikasikan dengan lebih spesifik sperti death metal, industrial, grindcore dan black metal. Kalau sebelum itu jika sesuatu muzik itu lebih berat daripada heavy metal, ianya dipanggil thrash metal. Selain daripada band-band yang disebutkan tadi, sudah ada band yang memainkan muzik yang lebih ganas konsepnya iaitu black metal. Antara band black metal terawal ialah Black Fire, Rator dan Vulga. Pada tahun itu juga sebuah konsert thrash metal pertama kali telah diadakan di Stadium Negara dengan aksi band Punisher, Nemesis, Saxo dan Slap Death. Penonton dianggarkan sekitar 6000 orang walaupun sebelum beberapa buah media tempatan mengatakan konsert tersebut tidak akan mendapat sambutan ekoran daripada jenis muzik yang dibawakan. Suasana underground mula wujud apabila sudah banyak band mula merakamkan demo, membuat fanzine dan sudah ada gig secara kecil-kecilan. Muzik thrash, black dan death metal telah dilabel sebagai muzik underground. Pada penghujung tahun 1989, Rator telah merakamkan demo mereka yang pertama iaitu 'Evil Symphony' di Hellion Studio, Sil Khannaz juga telah ditubuhkan pada waktu ini. Fanzine juga telah mula wujud dan antara yang terawal ialah Aedes ( Joe Kidd ) dan Thrash Attack ( Aziz ).

Zine Thrash Attack hanya dikeluarkan sehingga isu ke lapan sahaja dan selepas itu Aziz menyambungnya dengan zine Vortex From The East. Ada yang mengatakan zine Aedes ( dimulakan pada tahun 1986 ) merupakan zine underground yang pertama di Malaysia tetapi menurut Joe Kidd sebelum itu sudah terdapat sebuah lagi zine di Terengganu iaitu Huru-Hara. Menurutnya editor zine tersebut hanya diedarkan di kalangan rakan-rakannya sahaja di Kuala Terengganu. Zine Aedes hanya wujud hingga isu ke tujuh sahaja. Zine-zine tersebut pada awalnya hanya ditulis tangan atau ditaip sahaja ( menggunakan manual typewriter ) dan kemudian difotostat serta diedarkan kepada rakan-rakan mereka di dalam dan luar negara.

Sebuah zine dari Ipoh iaitu Krenmaut yang diusahakan oleh Sam ( Batara Guru ), Ajak dan Bearkey juga adalah antara zine yang terawal. Selepas tahun 1993 bermacam-macam zine yang keluar dan boleh dikatakan tedapat di seluruh negara terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang. Antaranya ialah Heartcore, Buddy Holly, Suffer Age, Mukus, Obscure People, Earslaughter, Piss of Mine, Nathias, Verization, Noisy Scene dan banyak lagi. Ada antara zine tersebut yang masih wujud sehingga kini seperti Nathias dan Mukus.

Pada waktu yang sama, scene underground berkembang dengan begitu pesat. Antara yang begitu aktif ialah di Kuala Lumpur, Ipoh, Kuantan dan Pulau Pinang. Pada awalnya hanya muzik metal sahaja yang menduduki 'carta underground' dan begitu banyak diadakan di kelab-kelab. Pada waktu ini sudah banyak band metal ditubuhkan seperti Silent Death, Suffercation, Infectious Maggots, dan banyak lagi. Kebanyakan daripada band-band ini berpusat di Kuala Lumpur dan sering membuat 'meeting' di Central Market. Bandaraya Ipoh juga antara yang paling aktif melahirkan band-band metal yang power. Antaranya ialah Langsuyr, Profane Creation, Necrotic Chaos, Athotorgh dan banyak lagi. Di Sarawak juga terdapat scene yang aktif dengan band metal seperti Senseless, Sputum dan Kremation.

Pada waktu tersebut juga terdapat band black metal seperti Aradia, Nebiras, Bazzah, Hayagriva, Misanthrope, Mistik, Nakaratul Khaum dan macam-macam lagi. Selepas itu wujud bermacam-macam lagi band beraliran metal seperti Narsamum, Infernal Void, Silo, Kerrasuk dan pelbagai lagi band dengan konsep metal yang pelbagai. Kebanyakan daripada band tersebut juga sudah mula merakam album di bawah label-label independen yang wujud untuk menyokong scene underground seperti Dark Journey Records, Ultra Hingax Productions dan Sonic Asylum Records.

Jadi itu la serba sedikit yang aku dapat ceritakan mengenai Sejarah Awal Undergroung Di Malaysia ni nak cite banyak pun tak guna sebab korang yang dah pakar mesti tak caya cakap aku kan apa-apa pun sampai disini la aku meraban!! Salam Universal Music (Bukan syarikat rakaman tu Ekk!!) pasal aku jenis suka semua jenis irama sebab tu aku cakap universal so sori bebanyak kalau kolum aku ni memeningkan kepala korang!!Kita jumpa lagi di cerita lain..Itu pun kalau aku rajin nak cari dan tulis lagi laa ... Chiaosss!!..



















DULU UG SEKARANG INDIE....LEPAS NI PE PULAK......


Sejarah mungkin berulang Apa ironinya dengan tajuk dan intro yang saya gunakan? Kalian sedia maklum dengan keadaan semasa. Namun, ini bukan kali pertama karya pemuzik-pemuzik bebas mendapat tempat di hati masyarakat arus perdana. Lebih kurang 10 tahun dahulu, scene bebas(dahulunya dikenali sebagai ‘underground’) telah dapat diterima oleh masyarakat. Suasana pada masa itu sangat meriah dengan kehadiran kugiran-kugiran yang datang membawa pelbagai genre muzik. Untuk tidak merosakkan sejarah muzik bebas tanah air, saya hanya menumpukan kepada generasi DIY pada era 90-an dan pada era kini. Kepada pembaca yang berusia 21 tahun ke bawah mungkin tidak berkesempatan merasai betapa ‘happening’nya scene ‘bawah tanah’ ketika itu. Mungkin kalian berpendapat saya terlalu emosi atau ’orang tua’ yang sedang dilamun cinta lalu bercerita kenangan masa dahulu. Sebelum menduga, kalian harus terus membaca imbauan yang saya imbas kembali demi satu tujuan…BERSATU.
fanzine
Pada pertengahan 90-an, kita telah dikejutkan dengan kemunculan pelbagai kugiran ‘bawah tanah’ yang datang dengan harapan setelah dipojok dengan muzik ‘leleh’ yang hadir entah dari mana. Ingin saya tegaskan di sini, ketika itu scene ‘bawah tanah’ (DIY) sangat mementingkan semangat ‘unity’ dan ‘brotherhood’ yang tinggi. Saling bantu-membantu, tolong-menolong, berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing. Melalui ‘coverage’ yang begitu terhad, pemuzik-pemuzik bebas ini terus berjuang demi satu matlamat…BERKARYA. Tanpa Myspace, tanpa Facebook, tanpa Friendster, tanpa download atau upload, dan semacam kemudahan teknologi, pemuzik serta ‘followers’ bergerak seiring dalam memastikan scene ini terus hidup. Bolehkah ‘adik-adik’ bayangkan hidup tanpa sebarang ‘gadjet-gadjet’ canggih? Tanpa telefon bimbit, tanpa internet, tanpa Myspace…Tentu susah bukan???
Namun sedikit demi sedikit, tangga demi tangga didaki, akhirnya scene DIY dapat diterima ramai. Sebelumnya, segala informasi dikongsi melalui ‘zine-zine’ yang diilhamkan ‘followers’ atau pemuzik bebas sendiri, ROTTW, Majalah Konsert, kolum yang dikendalikan Joe Kidd (Carburetor Dung) dalam sebuah akhbar harian bahasa inggeris, pertukaran ’stuff’ sesama ‘followers’ dan bermacam-macam cara yang sangat terbatas. Boleh dikatakan hanya segelintir yang mengetahui tentang kewujudan scene DIY ini. Wujudnya hero-hero(he…he…he) seperti Abg. Rom, Joe Kidd, dan Kevin B(Wow FM-rip off) maka segala informasi berguna dapat dikongsi. Siapa Kevin B??? Mungkin ‘adik-adik’ tidak pernah kenal akan nama ini. Namun, tiada seorang DJ radio pada masa kini yang lebih ‘cool’ dari beliau. Kevin B merupakan seorang DJ radio Wow FM yang banyak memutarkan ’stuff’ DIY tanpa sebarang prejudis. Zahid(Disagree) mungkin individu yang paling bertuah pada masa itu(awal tahun 2000). Abg. Rom!!! Apa lagi yang dapat diceritakan mengenai ‘brother’ rambut putih ni. Hanya jutaan terima kasih dari kami semua. Dan, Joe Kidd. Saya rasakan beliau merupakan orang yang patut kalian sanjungi melalui usaha beliau memartabatkan scene DIY. Joe Kidd merupakan aktivis yang ideologinya susah untuk ditafsir. Aru(Koffin Kanser) dan rakan seperjuangan mungkin menangis jika sejarah mereka diimbas kembali. Hahaha…Republik Of Brieckfield adalah sebuah legasi yang benar. Banyak sejarah tercatat di situ dan mungkin Aru, Joe Kidd, Jaei(Sil Khannaz) serta rakan-rakan mereka saja yang mengerti.
scts
Seven Collar Tshirt
Okay…Berbalik kepada pendedahan pada era tersebut. Media arus perdana telah memberi perhatian kepada scene DIY. Malah, sebuah stesen TV swasta telah menerbitkan satu-satunya rancangan khusus untuk pemuzik-pemuzik bebas yang dikenali sebagai ALTERNATIF yang disiarkan setiap minggu. Dan bermula dari sini juga, semua kugiran yang datang dari kelompok bebas digelar sebagai ‘band alternatif yang membawakan genre muzik alternatif’(ntah apa-apa). Berbekalkan rancangan ini, ROTTW(dahulunya hanya terbit setiap 2 bulan),dan informasi dari rakan-rakan, kami(followers) berusaha mengumpul wang untuk hadir ke gig-gig serta membeli dan bertukar-tukar ’stuff’(ketika itu popular dalam bentuk kaset) yang berharga RM 5. Jika tidak, kami hanya berurusan melalui pos sahaja. Cuba ‘adik-adik’ bayangkan betapa susahnya hanya semata-mata untuk mendengar sesuatu yang ‘magik’. Pada ketika itu, scene DIY Ipoh(Ipoh Rock City) sangat happening dengan gig-gig metal dan indie. Medan Kidd merupakan medan pertukaran maklumat ataupun ‘one-stop-centre’ bagi budak-budak ipoh. Kompleks Yik Foong pula adalah tempat perkongsian idea dan pendapat yang meriah pada setiap hujung munggu. Manakala, di Kuala Lumpur, Central Market dan Kompleks Campbell adalah tempat yang wajib dikunjungi jika menghadiri gig di sekitar KL. Jika ‘adik-adik’ ingin menguji pengetahuan tentang muzik, sila kunjungi kedai kaset Auntie di Kompleks Campbell. Nescaya ‘adik-adik’ akan pulang dengan muka merah padam menahan malu(Auntie memiliki pengetahuan mendalam tentang senario muzik tempatan mahupun antarabangsa).
Kalian mungkin bosan dengan tulisan yang melalut. Tapi, ingatlah kalian semua tentang sejarah kita yang mungkin berulang. Akan saya rungkaikan di akhir penulisan ini. 28 Days, Sil Khannaz, Necrotic Chaos, Koffin Kanser, The Pilgrims, The Splatters, The Expired, The Bollocks, Muck, Catapuru, Apple Green, FTG, Butterfingers, OAG, Dead Mushrooms, Happy Nightmare, LYME, Prana, Republik Of Brieckfield, ACAB, The Official, Shizuka, BloodyMary, Fat Flat, Spunky Funggy, Spiral Kinetik Circus, Amigone, Carburetor Dung, Custom Daisy, Nice Stupid Playground, Skyjus, Acid Rain, Stone Angelina, Subculture, Infectious Maggots, Samarkhand, 7 Collar T-Shirt, Love Me Butch, Private Whizz, Langsuir dan banyak lagi adalah antara pemuzik-pemuzik bebas yang memberi satu ruang lingkup terhadap tohmahan yang dilemparkan masyarakat perdana selepas era kegemilangan Search dan Wings(kononnya tiada pengganti 2 kugiran hebat ini). Dan semestinya penghormatan harus diberi kepada satu-satunya kugiran ‘rebel’ semasa ‘Battle Of The Band’ pada era 80-an dahulu iaitu Blackfire.
nice-stupid-playground
Nice Stupid Playground
Dan…Julung-julung kalinya, beberapa tahun dahulu scene kita telah dibunuh dengan kejam tanpa diberikan ruang untuk menyelamatkan diri. Umpama pisau yang menikam tubuh itu ditarik dari badan kemudian ditikam kembali berkali-kali. Pedih…Perit… Scene seolah-olah mati. Peristiwa ‘Besi Hitam’ meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Gig-gig diserbu pihak berkuasa untuk menangkap PAK CIK HAMMER, PAK CIK PAKU dan entah apa-apa pak cik lagi kononnya bertujuan mencari bangkai kambing yang darahnya telah diminum oleh pengunjung gig(hahahahaha). Tapi, malangnya gig yang diserbu merupakan sebuah gig ’punk’. Namun, tangkap tetap tangkap!!! Balai cerita!!! Sebuah syarikat penerbitan akhbar tabloid telah menjadi ‘hero kampung’. Kononnya remaja Islam membakar kitab suci Al-Quran dan meminum darah kambing sebagai santapan. Berbulan-bulan propaganda mereka teruskan bagi memastikan remaja-remaja dapat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar(huh). Selama berbulan-bulan itu jugalah tiada seorang pak cik pun yang dapat ditangkap. Untuk rekod; pihak berkuasa negara kita telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penyelesaian kes-kes jenayah. Sekiranya benar apa yang diprovok oleh akhbar tabloid tersebut, sudah semestinya pak cik-pak cik tadi sudah dapat ditangkap dan menerima hukuman setimpal di atas kesalahan mengedar darah kambing. Tika dan saat ini jugalah ‘GARUDA’ yang besar dari seberang telah menemui tempat baru untuk bersarang. Dan tempat itu ialah…MALAYSIA.
”BAPAKU MARAH LAH LAGI, HABIS…CD DIBAKAR, HABIS…POSTER DIBAKAR, HABIS….ZINE KU DIBAKAR…KALAU INI MACAM, LEBIH BAIK AKU JADI…MAT REMPIT, JADI MAT RAP, JADI MAT DISKO, JADI MAT POP INDON, BAIK AKU JADI…BOHJAN”-ini antara lirik lagu Sunut daripada Langsuir(harap maaf jika tersilap). Cuba kalian baca dan fahami maksud yang hendak mereka sampaikan.
bittersweet-band
Bittersweet : Picture by WRNV
Kini, pemuzik-pemuzik bebas telah bangkit kembali. Hujan, Meet Uncle Hussein, They Will Kill Us All, Sugar Loves Cookies, Lydia Diary, Bittersweet, Estranged, Couple, Pop Shuvit(sekadar beberapa nama) telah memberi nafas baru kepada scene DIY. Saya lebih suka menggunakan terma ‘BEBAS’ kerana ia sangat jelas untuk menggambarkan perjuangan pemuzik-pemuzik muda ini. Jangan sempitkan pemikiran adik-adik kita dengan terma ‘INDIE’. Dengan penjelasan yang panjang lebar, saya berharap kepada semua pemuzik-pemuzik bebas masakini dan ’followers’ agar bersatu dan sama-sama menyokong pergerakan DIY kita sendiri. Jalan yang sempit dahulunya telah terbentang luas. Hanya azam dan ikatan persaudaraan yang kukuh sesama kita dapat meneruskan perjuangan yang dirintis oleh ‘pioneers’ terdahulu. Biar berbeza ideologi, biar berlainan genre, biar tidak sependapat, namun jangan sesekali biarkan scene kita dibunuh untuk kali kedua. Sebatang lidi memang mudah dipatahkan.tetapi jika kita menjadi seberkas lidi, tiada tenaga yang dapat melawan. Fikir-fikirkan.
Artikel ini dipetik daripada http://veneelemilies.blog.friendster.com/2008/11/sejarah-mungkin-berulang/ bertujuan untuk berkongsi dengan para peminat muzik independent tanah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan